April 3, 2013

Speak the truth even if your voice shakes


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

                                       


Sepasang suami isteri akan melancong ke luar negara. Sebelum bertolak, mereka memastikan rumah mereka berada dalam keadaan selamat untuk ditinggalkan selama seminggu.

     Teksi sudah menunggu di luar, ketika hendak menutup pintu rumah, tiba-tiba kucing jiran mereka meluru masuk.

     "Alamak! Sayang, tunggu dalam teksi dulu. Abang nak keluarkan kucing tu," suruh si suami.

     "Okey. Abang pastikan ya kucing itu keluar," kata si isteri sambil melangkah menuju ke teksi.

     Sebaik sahaja duduk di dalam teksi, wanita tersebut bekata: "Maaf buat pakcik tertunggu-tunggu pula."

     "Tak mengapa."

     Si isteri bimbang si pemandu teksi tahu rumah mereka ditinggalkan dan tidak berpenghuni, maka dia membuat helah: "Suami saya uruskan emak sekejap. Maklumlah orang tua."

     Pemandu teksi mengangguk.

     Kemudian si suami bergegas keluar dan memasuki teksi. Teksi mula bergerak menuju ke lapangan terbang.

     "Macam mana bang?"

     "Semua dah beres. Ada ke betina tu menyorok bawah katil. Abang pegang kaki dia, tarik keluar. Tapi, abang pula dicakarnya. Bedebah punya makhluk. Abang pegang dan lempar ia keluar ke laman belakang. Selesai!"

     Pemandu teksi yang mendengar kata-kata lelaki tersebut terkejut besar.
Kita selalu berkata perkataan atau ayat yang sebenarnya tidak perlu kita ungkapkan, perkataan yang lebih membawa kesan negatif daripada positif. Contoh yang diberi di atas adalah sebagai pengajaran supaya kita sentiasa bercakap benar. Sebenarnya dalam sketsa di atas juga kita boleh ambil iktibar supaya sentiasa bersangka baik, tetapi bersangka baik perlu pada tempatnya. Pemandu teksi tersebut tidak bertanya apa-apa pun tentang rumah pasangan suami isteri tersebut, jadi mengapa si isteri sibuk mengatakan perkara yang tidak sepatutnya dan tidak benar? Fikirkanlah...

Di sini saya nak membawa beberapa kisah tentang bercakap benar :

Kisah 1:

Kisah ini tentang seorang ulama' bernama Sheikh Abdul Kadir Al-Jailani, semasa beliau masih budak. Beliau ingin menuntut ilmu di kota Baghdad, lalu ibunya memberi 40 dinar sebagai nafkah belajar. Ibunya berpesan agar sentiasa bercakap benar. Di dalam perjalanan, tiba-tiba sekumpulan perompak merompak gerombolan kafilah yang disertai oleh beliau. Kemudian, perompak itu bertanya kepadanya, "Apa yang kau ada?", lalu dia menjawab, "Aku ada 40 dinar yang diberikan oleh ibuku". Si perompak ini terpana, sangat terkejut! "Kenapa kamu beritahu kami hal yang sebenar? 40 dinar bukanlah jumlah yang sedikit." Beliau menjawab, "Ibuku berpesan agar sentiasa bercakap benar." Ketua perompak yang mendengar jawapan Sheikh Abdul Kadir Al-Jailani itu, berasa sangat insaf, lalu bertaubat. Dan ketua perompak itu mengajak anak-anak buahnya untuk turut bertaubat.

Kisah 2:

Kita juga boleh mengambil pelajaran daripada kisah-kisah rakyat. Sebagai contoh, kisah tentang budak penggembala kambing yang menipu kambingnya dimakan oleh serigala. Pada kali pertama dan kedua dia menjerit meminta tolong tetapi ternyata dia hanya menipu. Namun apabila kali ketiga dia meminta tolong, dan benar-benar kambingnya hendak dimakan oleh serigala, tetapi orang lain tidak mempedulikan lagi jeritan meminta tolongnya kerana mereka telah hilang kepercayaan kepadanya, akibat daripada berkata bohong sebelum itu.




No comments: